Monday, August 11, 2014

Tokoh ICT Malaysia






Tun Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan.

Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian pada awal 80-an dan seterusnya berkembang menjadi sebuah negara K-Ekonomi.
Projek MSC, bandar pintar dan kerajaan elektronik telah membuka ruang kepada era kehidupan yang berteraskan kepada penyebarluasan ilmu atau k-era. Walaupun masih baru, era ini menjanjikan perubahan mutlak kerana ia akan memberikan definisi baru tanggapan manusia terhadap dunia.

Pada zaman ini, ilmu pengetahuan dapat menghasilkan tingkatan yang menjangkaui aset fizikal dan komoditi dari segi nilai, kepentingan dan kaitannya dengan kemajuan. Jelaslah penggunaan ICT di Malaysia telah memudahkan kewujudan dan perkongsian ilmu yang telah melenyapkan sempadan dan membuka ruang tanpa batasan.

Pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal adalah seperti
projek pengeluaran kereta Proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia. Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini diilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan. Ekonomi berasaskan pengetahuan yang dirangsangkan oleh pembinaan MSC adalah peringkat ketiga peralihan ekonomi Malaysia – yang akan membawa negara ke taraf negara maju menjelang 2020. Antara lainnya, projek MSC merangkumi aplikasi-aplikasi seperti kerajaan elektronik, tele-perubatan, dan kad pintar serbaguna.

Pada 1990 Dr Mahathir melancarkan
Wawasan 2020 – pelan sembilan cabaran yang menggariskan hasrat dan halatuju kerajaan dan rakyat Malaysia iaitu untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Taraf negara maju yang dibayangkan Dr Mahathir bukanlah yang meniru cara hidup di negara-negara maju yang ada ketika ini, tetapi yang berlandaskan moral dan nilai-nilai murni mengikut acuan Malaysia sendiri.

Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Bukit Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas. Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.

Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia.



sumber :http://mts.kelantan.edu.my

No comments:

Post a Comment